KERAJAAN PN PERLU JAWAB PENDEDAHAN SEKUMPULAN DOKTOR: NAJIB
13 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan PN perlu menjawab apa yang didedahkan oleh sekumpulan doktor di Lembah Klang mengenai suasana bekerja yang terpaksa mereka hadapi setiap hari.
“Ini adalah satu pendedahan yang sangat serius terhadap kerajaan PN.
“Kerajaan perlu menjawab jika apa yang didedahkan oleh mereka yang dikatakan frontliners hospital awam adalah sah atau bukan.
“Jika benar maka kegagalan kerajaan PN ini jauh lebih parah daripada pengetahuan awam,” katanya melalui perkongsian dalam Facebooknya, hari ini.
Laporan The Malaysian Insight hari ini bertajuk “Malaysia sudah jadi macam Itali dan India, kata doktor”.
Berdasarkan laporan itu, sekumpulan doktor dari beberapa hospital di Lembah Klang mendedahkan suasana bekerja yang terpaksa mereka hadapi setiap hari melawan pandemik Covid-19, semasa satu perbincangan dalam talian yang kini tular di media sosial.
Mereka menyifatkannya sebagai mengerikan tetapi pada masa sama meluluhkan hati.
Kapal sudah tenggelam, dan kami sedang lemas, kata mereka, yang menyamakan keadaan Malaysia pada hari ini seperti laporan yang pernah muncul dari Itali tahun lalu dan India awal tahun ini.
Kumpulan doktor ini mendedahkan keadaan yang mereka hadapi kepada Projek Bangsa Malaysia dalam satu rakaman yang dibuat pada 9 Julai.
Nama dan identiti mereka dirahsiakan kerana hal sensitif yang mereka ketengahkan dalam video bertajuk “The Pleas of Our Frontliners” (Rayuan Barisan Hadapan Kita).
Projek Bangsa Malaysia juga mengubah suara doktor ini untuk menyamarkan identiti mereka. Gambar serta hospital tempat mereka berkhidmat juga tidak diberitahu.
“Kalau kita ingat kapal masih lagi berlayar, saya rasa kapal itu sudah tenggelam. Kalau kita ingat rumah belum lagi terbakar, sebenarnya rumah sudah terbakar,” kata seorang doktor dalam laporan TMI.
תגובות