• Wartawan Nabalu News

KERAJAAN PN PERLU JELASKAN STATUS LIMA JUTA DOS VAKSIN DARI EROPAH: LIM GUAN ENG


Lim Guan Eng

23 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Nasional (PN) perlu menjelaskan status lebih lima juta dos Vaksin Covid-19 yang didakwa Kesatuan Eropah (EU) telah dihantar ke Malaysia.


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan akhbar, hari ini berkata, EU bukan sahaja membuat penafian terhadap tuduhan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, bahawa EU membolot vaksin Covid-19, tetapi juga mendedahkan bahawa EU telah meluluskan pengeksportan lebih lima juta dos vaksin untuk membantu Malaysia mempercepatkan program PICK.


“Sekiranya EU tidak membolot vaksin seperti yang didakwa oleh Khairy, ini menimbulkan persoalan penting tentang apa yang terjadi pada lima juta dos tersebut dan bagaimana ia diberi dan digunakan untuk rakyat Malaysia,” katanya.


Baru-baru ini, Duta Besar EU ke Malaysia Michalis Rokas menolak dakwaan Khairy sebagai tidak berasas kerana EU pada 15 Jun, telah menghantar sejumlah 4.87 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dan 560,000 dos vaksin AstraZeneca ke Malaysia.


Rokas menambah bahawa pengeksportan lebih daripada 5 juta dos tersebut ke Malaysia telah diluluskan serta-merta, dalam tempoh dua hingga tiga hari.


Lim berkata, kerajaan PN tidak seharusnya menyalahkan pihak lain kerana Program PICK yang perlahan dan sebaliknya mengakui kelemahan sendiri.


“Kegagalan melaksanakan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang konsisten, mempercepat kelulusan vaksin dan pelaksanaan segera PICK adalah tanggungjawab Kerajaan PN.


“Dasar yang berubah-ubah antara Kementerian mengenai ekonomi dan perniagaan mana yang boleh atau tidak boleh beroperasi semasa PKP "total lockdown" memberi kesan buruk kepada perniagaan.


“Kegagalan untuk bergantung pada sains dan data melalui strategi FTTIS - Find-Test-Trace-lsolate-Support (Cari-Uji-Jejak-Asing-Sokong) yang efektif dan cekap seperti yang disaran oleh Penubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyumbang terhadap jumlah tertinggi jangkitan dan angka kematian,” katanya.