Kerajaan Rancang Bina MRSM Ke-58 Khusus untuk Anak Warga ATM - Ahmad Zahid

20 September 2024
KLUANG: Kerajaan bercadang untuk menambah sebuah lagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang dikhususkan bagi anak-anak pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Langkah ini bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak warga ATM untuk mendapatkan pendidikan berkualiti di institusi tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa pembinaan MRSM tambahan ini akan menjadikan jumlah keseluruhan MRSM di Malaysia meningkat kepada 58 buah. MRSM yang dicadangkan ini juga akan menjadi yang kedua khusus untuk anak-anak warga ATM, selepas MRSM Kem Terendak di Melaka.
“Kita akan berbincang dengan pihak Kementerian Pertahanan (Mindef) dan menterinya (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) di mana lokasi sesuai.
"Adakah akan menggunakan MRSM yang sudah dibina tetapi belum beroperasi atau pembinaan baharu yang agak panjang (yang boleh) mengambil masa sehingga 48 bulan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Mahkota, semalam dengan diiringi Mohamed Khaled.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata apabila MRSM itu siap, ia akan turut melaksanakan program Ulul Albab selain tidak mengetepikan bidang akademik pilihan pelajar.
Sistem pendidikan Ulul Albab, menurut Ahmad Zahid perlu diteruskan kerana berdasarkan peperiksaan, pelajar yang mengikuti pengajian tersebut memperoleh keputusan lebih cemerlang.
Terdahulu semasa berucap, beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membiayai kos penyelenggaraan MRSM Terendak bermula tahun depan yang kini ditanggung Mindef.
Menyentuh inistiatif Mindef menawarkan program pengajian berasaskan pekerjaan (WBL) kepada semua anggota ATM, Ahmad Zahid berkata Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang merupakan antara institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut bersedia menawarkan bidang bersesuaian.
“UniKL juga akan mengambil dan mengiktiraf kelulusan anggota ATM ini,” katanya.
Baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata Mindef menggalakkan anggota ATM menyertai WBL bagi memperoleh sijil pengajian tinggi sebagai persiapan menceburi bidang lain selepas bersara, mengambil kira sebahagian besar anggota bersara pada usia 41 tahun.
Mohamed Khaled berkata setakat ini dua universiti awam bersetuju untuk menawarkan 10 program pengajian bagi pelaksanaan WBL iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Коментари