top of page

Kerajaan Sabah selesai laksanakan Fasa 1 Inisiatif Kerajaan Digital

Wartawan Nabalu News

16 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengumumkan bahawa kerajaan negeri Sabah telah selesai melaksanakan Fasa 1 Inisiatif Kerajaan Digital yang melibatkan “Data Integration and Interchange Platform” (DIIP) dan Tiga Data Hub iaitu People Hub, Business Hub dan Geo Hub.


Hajiji berkata bahawa ‘People Hub’ adalah daya tarikan integrasi data melalui agensi kerajaan yang holistik dan berasaskan rakyat.


Kerajaan juga telah memperkenalkan empat perkhidmatan atas talian di bawah Biz Hub yang merangkumi maklumat keusahawanan, Penilaian Environment Social Governance Sustainability Assessment untuk SME, Virtual Engagement Platform (VEP) untuk B2B Matching, dan SabahTAMU untuk mempromosikan pasaran digital di Sabah.


“Selain itu, Geo Hub menyediakan pemetaan dan analisis geospatial untuk pelbagai tujuan dan pemantauan aktiviti dengan rujukan geospatial dan peta satelite. Fasa 1 bagi ‘DIIP’ dan ketiga-tiga ‘hub’ ini telah selasai dilaksanakan,” katanya.


Jelas Hajiji, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memantapkan penyampaian perkhidmatannya dengan memperkuatkan pentadbiran dan kelengkapan peralatan digital anggota perkhidmatan.


Beliau turut menekankan bahawa jentera kerajaan akan terus berfungsi dengan suasana 5A iaitu Available At Anytime, Anywhere with Any mobile Device dan pemasangan wifi di semua premis kerajaan yang memenuhi keperluan keselamatan siber.


Hajiji juga mengumumkan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) dan Sabah Net akan memperkembangkan pendigitalan di Sabah secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program pendigitalan.


Sementara itu, JPKN akan terus membangunkan sistem aplikasi untuk agensi-agensi Kerajaan Negeri dan dijangkakan sebanyak 30 sistem aplikasi yang bercirikan “End-To- End” akan dibangunkan.


Sabah Net juga akan terus meningkatkan infrastruktur rangkaian internet di semua premis kerajaan dengan pemasangan talian jalur lebar selaras dengan perluasan pemasangan rangkaian gentian optik di seluruh negeri.


“Sabah Net akan meneruskan kerja menaik taraf di semua 749 pejabat kerajaan negeri kepada rangkaian fiber dengan kelajuan minimum 100Mbps sehingga tahun 2025. Pusat Data Sabah Net yang mempunyai kuasa kapasiti tinggi adalah pengehosan utama bagi aplikasi perkhidmatan kerajaan negeri.


“Bagi peningkatan keselamatan siber, Sabah Net meneruskan usaha dalam menaiktarafkan sistem keselamatan siber menggunakan teknologi yang terbaharu. Peningkatan ini akan memperkukuhkan perlindungan keselamatan siber agar kerajaan boleh beroperasi secara fleksibel di mana-mana sahaja,” tegasnya.


Menurutnya, dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti perkhidmatan jalur lebar di Sabah, Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menambah pembinaan menara baharu, penaiktarafan stesen pemancar sedia ada kepada 4G dan menaiktaraf Pusat Internet Desa (PID) kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDI).


Beliau berkata, KSTI juga akan memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 300 lokasi yang dikenalpasti pada tahun 2023, manakala Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga turut bersetuju untuk memasang 300 buah VSAT di Sabah di lokasi-lokasi yang tidak termasuk di bawah program JENDELA.


“Kesemua perancangan serta program-program pendigitalan yang dilaksanakan kerajaan negeri ini adalah memastikan bukan sahaja dalam meningkatkan dan menambahbaikan sistem perkhidmatan awam negeri Sabah, malah sebagai pemangkin untuk mempercepatkan transformasi digital di negeri Sabah,” tegasnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page