Kerajaan Sabah tegas, sebarang tuntutan pihak luar tidak diiktiraf – Hajiji
- nabalunews
- Jul 31, 2024
- 2 min read

31 Julai 2024
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan bahawa sebarang cubaan tuntutan pihak luar ke atas negeri ini, termasuk melalui pencerobohan seperti insiden pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 dan tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu akan terus ditentang kerajaan negeri.
Hajiji berkata dakwaan yang mengatakan Sabah milik Kesultanan Sulu adalah tidak berasas, lebih-lebih lagi kesultanan itu sudah tidak wujud dan tidak pernah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
“Kesultanan Sulu sudah lama tidak wujud dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa. Ia adalah percubaan tidak berasas oleh kumpulan berkenaan untuk mendakwa kedaulatan ke atas wilayah Malaysia," katanya pada pelancaran buku mengenai Op Daulat Tanduo di Menara Kinabalu, di sini, semalam, lapor Berita Harian.
Buku bertajuk 'Pasukan Gerakan Am, Briged Sabah: Menghapuskan Pengganas dan Kolum Kelima di Kampung Tanduo, Lahad Datu' itu menceritakan kisah sebenar ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013. Dokumentasi mengenai operasi pasukan keselamatan ketika insiden itu dilakukan menerusi kerjasama Jabatan Arkib Negeri Sabah dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.
Hajiji menjelaskan bahawa pendirian kerajaan negeri adalah jelas dan selaras dengan suara rakyat Sabah yang memilih untuk membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Oleh itu, sebarang tuntutan luar tidak akan dilayan oleh kerajaan negeri dan rakyat Sabah secara keseluruhannya.
"Pengorbanan pasukan keselamatan, terutama ketika insiden Tanduo, adalah besar kerana mereka berjuang untuk kedaulatan negara dan keselamatan rakyat dengan nyawa mereka. Peranan PGA dalam insiden itu sangat dihargai oleh semua rakyat Malaysia kerana tanpa keberanian dan pengorbanan mereka, kedaulatan negara akan terancam," katanya.
Hajiji juga berharap penerbitan buku itu akan membolehkan generasi muda memahami apa yang berlaku semasa pencerobohan berkenaan, terutama pengorbanan pasukan keselamatan negara.
Tambah beliau, sudah 11 tahun berlalu sejak pencerobohan Tanduo dan dengan pengukuhan keselamatan di Pantai Timur Sabah, keadaan di Lahad Datu kini sudah kembali normal.
"Kerajaan telah mengambil langkah kritikal dengan membentuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah
(ESSCOM) yang banyak membantu dalam mengembalikan keadaan normal di Lahad Datu. ESSCOM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan PGA mengukuhkan lagi pengawasan di perairan Sabah," katanya.
Comments