top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Sabah tetapkan tujuh keutamaan pembangunan kebudayaan 2021-2030


27 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Kerajaan Sabah dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor telah menetapkan tujuh keutamaan untuk pembangunan kebudayaan di negeri Sabah yang dilaksanakan dari tahun 2021 hingga 2030.


Keutamaan-keutamaan yang ditetapkan adalah pendigitalan seni budaya atau eCulture, pelancongan budaya bersepadu, pemuliharaan budaya, pengukuhan hubungan etnik, penyelidikan dan dokumentasi budaya, pengembangan seni budaya dan perlindungan harta intelek.


Menurut Hajiji, tujuh keutamaan ini bertepatan dengan inisiatif Sabah Maju Jaya dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di Sabah, dan peranan ini dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.


Beliau juga menambah bahawa melalui tujuh keutamaan ini, semua badan kebudayaan dan komuniti boleh bekerjasama, menghayati dan mengamalkan nilai kebudayaan yang diwarisi dari generasi sebelumnya dan mewarisi kepada generasi akan datang.


Perkara ini diumumkan semasa beliau merasmikan Duang Festival di Rumah Kebudayaan Rumpun Bajausama di Kampung Lok Batik, Tuaran, kelmarin.


Hajiji juga mengumumkan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kerajaan telah meluluskan empat projek besar dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta, iaitu Projek Pemetaan Budaya 2021-2025 dan Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020-2030.


Tambah beliau, projek-projek lain seperti meningkatkan produk pelancongan budaya Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom dan meningkatkan infrastruktur Pusat Kebudayaan Sabah Penampang, yang kini sedang dalam proses pelaksanaan.


“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM9.5 juta kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dalam Belanjawan 2023 Sabah untuk melaksanakan pelbagai program bagi memulihara kekayaan dan warisan seni budaya etnik negeri ini.


“Ini termasuk Hentian Budaya (Cultural Pit-Stop) yang akan diperkenalkan untuk memperkasakan industri pelancongan berasaskan budaya dengan dua lokasi baharu di Kota Belud dan Tawau,” katanya.


Hajiji menyeru semua pemimpin masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua lapisan masyarakat di negeri ini agar terus memperkasa dan memelihara seni, budaya dan adat tradisi bangsa.

bottom of page