• Wartawan Nabalu News

Kerajaan sedia pertimbang meminda Ordinan Pentadbiran Luar Bandar untuk perkasa tadbir urus JPKK



8 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah bersedia untuk mempertimbangkan pindaan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar bagi memperkasakan tadbir urus Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).


Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, beliau akan meminta pegawai-pegawai kementerian untuk membuat kajian ke atas Ordinan Pentadbiran Luar Bandar memandangkan perkara tersebut perlu diberi perhatian.


“Kalau perlu, Jabatan Peguam Negara Sabah akan dilibatkan untuk membuat kajian-kajian … Kita pastikan apa-apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu tidak disentuh, malah kalau boleh, diperkuatkan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick semasa ucapan penggulungannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini,


Ewon bertanya samada Kerajaan Negeri bercadang dan bersetuju dengan pemindaan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah agar tadbir urus JPKK lebih baik dan tidak terikut dengan rentak Kerajaan Persekutuan.


Sementara itu, Ewon juga bertanya mengenai jumlah bayaran elaun JPKK yang dikurangkan kepada separuh iaitu RM15.5 juta untuk tahun 2022, berbanding RM30 juta pada tahun 2021.


Menurut Jahid, kementeriannya telah membuat pengiraan yang rapi berdasarkan kepada kuota yang ada.


“Berdasarkan kepada kuota yang ada, yang telah diberi lantikan dan kuota yang ada, tidak mencukupi untuk membayar elaun kepada semua JPKK yang telah dilantik dan bakal dilantik mengikut perancangan kita.

“Daripada 2,853 badan JPKK di Sabah, setakat ini yang telah dilantik ialah 2,392 orang JPKK, di mana masih ada sedikit lagi belum dilantik. Tapi dalam perkiraan kementerian, ianya memang cukup,” jelasnya.


Jahid juga menjelaskan bahawa kelewatan bayaran elaun JPKK antaranya disebabkan oleh kesilapan maklumat yang dibekalkan seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun bank yang salah dan akaun bank milik orang lain.


“Ini menyebabkan bayaran tidak dapat diproses dan Kementerian saya terpaksa membuat pembetulan terlebih dahulu sebelum memproses semula,” ujarnya.