top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan sedia peruntukan besar untuk badan agama bukan Islam di Sabah



14 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sejumlah RM47 juta untuk badan agama bukan Islam, sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah persendirian tahun ini.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, jumlah itu adalah yang terbesar pernah diluluskan oleh kerajaan Sabah.


Katanya lagi, ini mencerminkan keikhlasan kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan semua kaum dan agama di Sabah terus terjaga.


“Kerajaan menyedari kepentingan institusi pendidikan dan badan agama dalam melahirkan rakyat yang berilmu serta menyemai nilai-nilai murni dan positif yang mampu memacu pembangunan negeri,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan kewangan kepada sekolah venakular dan mubaligh, gereja dan kuil bagi tahun 2021 serta penyerahan kepala singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022.


Teks ucapannya disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, kelmarin.


Hajiji berkata, kerajaan memperuntukkan RM164.12 juta bagi pelaksanaan program pembangunan pendidikan dan agama dalam Belanjawan Negeri tahun ini.


Katanya, dana itu disalurkan kepada agensi kerajaan berkaitan badan agama dan pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri meningkatkan kualiti modal insan serta menjamin kesejahteraan rakyat.


"Sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia, peruntukan itu memberi manfaat kepada semua agama dan kaum di negeri ini," katanya.


bottom of page