Kerajaan sediakan RM800 juta tambahan atasi masalah air di Kelantan, Sabah – PM

27 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan dan Sabah dengan menyediakan RM800 juta tambahan bagi penyelesaian jangka pendek.
Beliau berkata, kerajaan berikrar memastikan semua rakyat menikmati akses yang universal dari segi infrastruktur asas sama ada bekalan air atau elektrik.
"Setakat 2022, 97 peratus penduduk Malaysia mempunyai akses kepada bekalan air terawat, namun sebahagian penduduk di Kelantan dan Sabah tidak mempunyai akses kepada bekalan air yang konsisten dan berkualiti," katanya ketika melancarkan 'Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat' di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa rakyat di kawasan desa juga wajar mempunyai perkhidmatan asas bertaraf dunia.
"Jadi, Kerajaan Perpaduan komited menangani isu ini dan bersetuju untuk menyediakan keseluruhan RM800 juta tambahan," katanya.
Selain itu, beliau juga berkata bahawa kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir di beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor demi melindungi masyarakat setempat daripada ditimpa bencana banjir.
"Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan impak negatif daripada bencana alam ini," katanya.
Comments