top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan teliti perketat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat - PM


14 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti peruntukan untuk memperketatkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memastikan lebih ramai berani melaporkan kegiatan rasuah tanpa rasa takut.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha itu bertujuan untuk melindungi pemberi maklumat tentang kesalahan dan rasuah.


Bagaimanapun, jelas beliau, usaha kerajaan tersebut bukan bertujuan untuk memberi laluan kepada mana-mana pihak membuat tuduhan palsu atau fitnah.


"Saya setuju dengan gesaan Yang Berhormat kerana di antara arahan awal saya ialah kerana ramai yang memberi maklumat merasa tidak selamat kerana mendapat tekanan termasuk beberapa penjawat awam.


“Oleh itu, kerajaan sedang meneliti peruntukan untuk memperketatkan dan memberi perlindungan.


"Cuma ada pandangan daripada pihak perundangan yang menyatakan ini bukanlah memberi laluan kepada mana-mana pihak untuk membuat tuduhan palsu atau fitnah, jadi dibedakan dengan usaha memberikan fakta dan saya setuju dengan gesaan, ini akan kita bentangkan selewat-lewatnya pada sesi akan datang," katanya.


Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat pada Selasa.


Comments


bottom of page