top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan terdesak paksa rakyat dengan ‘ugutan’ status vaksinasi hilang



8 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan terdesak memaksa rakyat dengan ‘ugutan’ status vaksinasi lengkap vaksin akan hilang, kata Naib Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) Patrick Tangkalau.


Beliau turut menyelar tindakan dan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dianggap “ugutan kepada rakyat” bahawa warga emas berumur 60 tahun ke atas atau penerima Sinovac berumur 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan penggalak sebelum 1 Mac.


“Jika gagal berbuat demikian, status mereka akan bertukar kepada “tidak divaksin sepenuhnya” dan sijil vaksinasi digital mereka akan bertukar status daripada kuning kepada putih, bermakna mereka belum divaksin sepenuhnya.


“Ugutan berupa psikologi ini mendatangkan trauma dan gangguan kepada emosi dan karakter individu. Saya bukanlah pakar tetapi kesan kenyataan ini menyebabkan psikologi tertentu mengakibatkan kecemasan dan serba salah yang mendesak individu terutama tahap kesihatan individu yang tidak stabil atau kronik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Patrick berkata, ibunya yang berumur hampir 80 tahun, berkata “tidak mahu (penggalak), cukuplah itu dua vaksin”.


Beliau berkata, rakyat tertekan dengan kenyataan yang dikeluarkan Khairy.


“Persoalannya, kenapa Kerajaan melakukan “ugutan” seperti ini? Kenapa Kerajaan menyusahkan rakyat dengan memberikan tekanan psikologi.


“Cuba fikirkan daya tahan warga emas yang telah melebihi umur 60 tahun ke atas untuk mendapatkan suntikan penggalak mereka," katanya.


Sehubungan itu beliau mendesak kerajaan supaya menarik balik kenyataan itu dan sebaliknya memberikan penyelesaian seadilnya kepada penerima vaksin yang telah lengkap dua vaksin.


“Tindakan pencegahan hanya boleh ditangani dengan meningkatkan kesedaran terhadap virus Omicron dan kepatuhan kepada SOP seperti memakai pelitup muka, penjarakan 1 meter, menggunakan hand sanitizer dan elakan tempat sesak. Itulah pencegahan terbaik dan terbukti,” katanya.



bottom of page