Kerajaan terus komited dalam pembangunan Sabah dan Sarawak - RMK12
- Wartawan Nabalu News
- Sep 11, 2023
- 1 min read

11 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus komited dalam pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak dengan melaksanakan pelbagai projek dan inisiatif baharu pada tempoh akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Antara projek yang akan dilaksanakan ialah penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah yang dijangka dapat dimuktamadkan menjelang Januari tahun hadapan.
"Melalui penyerahan kuasa ini, Kerajaan Negeri Sabah memiliki wewenang untuk mengawal selia bekalan gas dan elektrik berdasarkan kepentingan negeri," beliau berkata demikian ketika membentangkan Usul Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan akan membangunkan sistem tenaga boleh baharu dan menaik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan Felda Sahabat, Sabah dengan kos sebanyak RM195 juta.
"Projek dengan kos sebanyak RM195 juta ini akan memanfaatkan rakyat di kawasan tersebut dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katantya.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga akan meningkatkan kualiti sistem pendidikan di kedua-dua wilayah tersebut dengan melaksanakan lebih banyak projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah.
"Sehingga kini, sebanyak 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek lagi di Sabah," katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga akan membina sebuah pusat darah wilayah di Sabah dan dua makmal kesihatan awam di Kuching, Sarawak untuk meningkatkan kemudahan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih saksama.
Beliau juga berkata kerajaan akan melaksanakan pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang mampan dan berdaya tahan dengan membina Sarawak-Sabah Link Road II dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B.
Selain itu, kerajaan juga akan menjalankan Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
"Dalam kerangka Ekonomi MADANI, pendekatan kita sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif," katanya.
Comentários