top of page

Kerajaan tiada hak nafi permohonan kewarganegaraan kanak-kanak jika syarat dipenuhi

Farah Salim


19 Nov 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang hak untuk menafikan permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan di kalangan kanak-kanak jika mereka memenuhi kesemua syarat undang-undang, kata Mahkamah Persekutuan.


Menurut laporan Free Malaysia Today, ini didedahkan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dalam penghakimannya berhubung usaha seorang remaja untuk mendapatkan kewarganegaraan.


Maimun berkata, kerajaan perlu melaksanakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan permohonan kewarganegaraan.


Tambahnya, semua pihak perlu mematuhi bahawa kewarganegaraan mengikut pelaksanaan undang-undang adalah satu hak yang asas dan menepati perlembagaan.


Beliau berkata demikian berhubung kes seorang remaja lelaki yang berumur 17 tahun yang ditinggalkan oleh ibu kandungnya ketika masih bayi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2004.


Bayi itu kemudian diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri di mana mereka telah menyalurkan segala maklumat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengeluarkan sijil lahir.


Bagaimanapun, JPN enggan mengeluarkan kad pengenalan ketika anak itu mencecah 12 tahun atas ketidaktepatan maklumat.


Sebaliknya, JPN mengeluarkan satu sijil kelahiran di mana makumat ibu bapa direkodkan sebagai ‘tiada’ dan kewargarnegaraannya ‘belum ditentukan’.


Tengku Maimun berkata, mengikut Perkara 19B Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, beban terletak pada kerajaan untuk membuktikan bahawa ibu kandung kanak-kanak itu bukan pemastautin tetap di sini dan berpendapat bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri sepatutnya dapat mengesahkan identity ibu kandung anak itu melalui jenteranya.


Tambahnya, kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap keputusan hari ini dalam menangani kes serupa pada masa depan kerana ia merupakan tanggungjawab kerajaan untuk menjalankan siasatan sewajarnya.


“Jika selepas siasatan didapati fakta peninggalan adalah benar, mereka diwajibkan oleh undang-undang tertinggi negara untuk mengiktiraf permohonan kewarganegaraan mengikut kuat kuasa undang-undang,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page