Kerajaan tidak naikkan harga minyak masak paket, subsidi sasaran akan dilaksana

9 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak masak subsidi paket yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram, walaupun menghadapi tekanan kewangan akibat kenaikan harga komoditi di peringkat global.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub , ini adalah salah satu langkah dasar untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Jelas beliau, kerajaan telah bersedia untuk melaksanakan sistem subsidi sasaran kepada golongan tertentu dengan menggunakan satu pangkalan data iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan siap pada tahun depan.
"Kita faham kerajaan berbelanja untuk minyak masak paket sahaja dan RON95 sebagai contoh, dan barang-barang subsidi lain. Kita masih mengekalkan subsidi ini demi rakyat," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang menaikkan harga minyak masak paket kepada RM3.50 sekilogram sebagai usaha mengurangkan ketirisan.
Salahuddin turut menyatakan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini telah memperuntukkan RM4 bilion bagi menanggung subsidi minyak masak paket satu kilogram yang telah bermula sejak Jun 2007.
Comments