top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan yakin kemiskinan tegar akan berakhir tahun ini



28 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk menamatkan kemiskinan tegar di kalangan 130,000 ketua isi rumah di seluruh negara pada tahun ini dengan melaksanakan pelbagai program bantuan dan insentif.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah mengenal pasti 123,243 ketua isi rumah miskin tegar yang memerlukan bantuan segera dan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM750 juta untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).


Jelas Anwar, beliau sengaja meletakkan jumlah sebanyak 130,000 ketua isi rumah ini kerana kemungkinan jumlahnya akan bertambah.


“IPR meliputi tiga inisiatif iaitu Inisiatif Usahawan Tani, Inisiatif Usahawan Makanan dan Inisiatif Operator Perkhidmatan yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan rakyat miskin melalui aktiviti ekonomi


“Selain itu sebanyak 400,000 bantuan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada mereka yang mudah terjejas, subsidi, bantuan serta insentif sebanyak RM64 billion serta pelaksanaan konsep Payung Rahmah,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai pendekatan dan kemajuan pelaksanaan kerajaan perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan secara holistik.


Anwar juga berkata, kerajaan telah membangunkan Sistem e-Kasih sebagai pangkalan data kemiskinan nasional yang menjadi rujukan kepada semua agensi kerajaan yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan.


Selain itu, jelas Anwar, kerajaan juga memberikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion.


“Pembayaran Fasa 1 STR telah dilaksanakan pada 17 Januari lalu membabitkan 8.7 juta penerima dengan jumlah bantuan sebanyak RM1.67 bilion, manakala bagi Fasa 2 STR, ia akan dilaksanakan pada 5 April ini iaitu di pertengahan bulan Ramadan,” katanya.


Beliau menambah, kerajaan juga meneruskan bantuan berdasarkan keperluan kepada kumpulan sasar seperti orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim dengan menggunakan konsep Payung Rahmah.


“Secara keseluruhannya, saya yakin dan percaya usaha yang dilakukan kerajaan akan berhasil dan menokhtahkan kemiskinan tegar serta memastikan kelompok rakyat termiskin tanpa mengira latar belakang kaum dapat segera dibantu sekali gus keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

Comments


bottom of page