top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerakyatan anak lahir di luar negara, kabinet setuju pinda Perlembagaan Persekutuan


Gambar hiasan

19 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Jemaah Menteri pada Jumaat lalu bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mendapat kerakyatan negara ini.


Ini dimaklumkan dalam kenyataan bersama oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada Jumaat (17 Februari).


“Mesyuarat Jemaah Menteri pada telah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1) (e) dan Bahagian II, Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua bagi memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang- undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia.


“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Anwarn Ibrahim serta barisan kabinet kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media.


Menurut kenyataan itu, cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan "bapanya" dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan "sekurang- kurangnya seorang daripada ibu bapanya" bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan.


“Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 seterusnya dijangka akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen ini setelah memenuhi kehendak undang-undang.


“Pada masa yang sama pindaan yang lain berkaitan kewarganegaraan terutamanya Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh Jawatankuasa yang ditubuhkan dibawah KDN dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan tersebut dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan,” katanya.


Mereka menyatakan, perkara ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia, mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul, menyelesaikan lambakan kes-kes tertunggak bagi wanita yang terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan tidak munasabah dan memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.




bottom of page