top of page

Kerangka undang-undang CCUS berpandukan Jabatan Peguam Negara

  • nabalunews
  • Aug 7, 2024
  • 2 min read
Rafizi

7 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Kerangka undang-undang industri pemerangkapan, penggunaan dan penstoran karbon (CCUS) dibangunkan dengan dipandu dan diikat oleh pandangan undang-undang yang diberikan oleh Jabatan Peguam Negara.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia termasuk dalam perkara berhubung tafsiran persempadanan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seperti yang telah termaktub di bawah Akta Pelantar Benua (1966), Akta Zon Ekonomi Eksklusif (1984) dan Akta Laut Wilayah (2012).


Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata setakat ini, platform Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disediakan khusus untuk membincangkan isu-isu berbangkit di antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak telah berjaya menyelesaikan banyak isu.


“Sementara perbincangan mengenai perbezaan tafsiran persempadanan ini terus berlaku di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak melalui platform MA63 untuk mencari titik penyelesaian, Kementerian Ekonomi akan memastikan pembangunan kerangka undang-undang CCUS akan mengambil kira sebarang keputusan yang dipersetujui bersama,” katanya dalam kenyataan itu.


Menurut Rafizi, dalam mesyuarat Majlis Tenaga Negara pada 2 Ogos lalu, Kerajaan Persekutuan mengambil maklum pendirian Kerajaan Sarawak yang dibentangkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkenaan pembangunan kerangka undang-undang untuk mengawal selia industri CCUS, termasuk perkara-perkara berhubung perbezaan tafsiran undang-undang mengenai sempadan negeri yang melibatkan pelantar benua.


“Kerajaan Sarawak juga menyatakan bahawa sebarang urusan, terutamanya aktiviti perniagaan yang dijalankan di Sarawak, mestilah mengambil kira dan menghormati hak dan undang-undang yang dikuatkuasa oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.


Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Rafizi yang mana kerajaan telah mengenal pasti empat negeri sebagai peneraju berpotensi dalam industri CCUS kerana mempunyai telaga minyak yang telah ditamatkan operasinya dan kemudahan terminal sedia ada yang sesuai untuk aktiviti CCUS.


Rafizi dipetik sebagai berkata, kerajaan sedang memuktamadkan rang undang-undang berkaitan CCUS untuk dibentangkan di Parlimen pada bulan November ini, sebelum keputusan penting mengenai industri tersebut dapat dibuat tahun depan.


CCUS yang merupakan salah satu projek perintis dalam Pelan Peralihan Tenaga Nasional adalah industri berimpak tinggi yang dijangka membawa manfaat ekonomi kepada negeri-negeri yang terlibat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page