- nabalunews
Kereta terbabas ke kebun pisang, lelaki maut
19 Ogos 2024
KOTA MARUDU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas lalu terbalik di kawasan kebun pisang, Kampung Langkon, di sini awal pagi tadi.
Mangsa Grandson Poyo, 36, tersepit pada bahagian pemandu kereta jenis Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Mohd Hasbi Hajat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.02 pagi.
Katanya sepasukan 10 pegawai dan anggota dari BBP Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 12 kilometer dari balai.
"Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di kebun pisang.
"Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi bomba ditamatkan jam 1.42 pagi.
Comments