Kerja naik taraf Jalan Lahanas Sokid kepada jalan konkrit sepanjang 450 meter kini siap, satu kegembiraan kepada penduduk kampung

10 September 2024
KOTA BELUD: Kerja menaik taraf Jalan Lahanas Sokid kepada jalan konkrit sepanjang 450 meter di Kampung Lahanas Sokid, Kadamaian, Kota Belud telah siap pada 9 September lalu dan dibiayai melalui Peruntukan Kampung Sejahtera Lahanas.
Seorang penduduk Kampung Lahanas Sokid, Pinol Timun, merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih bagi pihak penduduk Kampung Lahanas Sokid dan Lahanas Siba kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick atas usaha dan komitmen berterusan beliau dalam membantu komuniti di Kadamaian sejak dipilih sebagai ADUN pada 2018.
Menurut Pinol, walaupun Datuk Ewon kini memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di peringkat Persekutuan, namun beliau tetap memberi perhatian kepada rakyat di Kadamaian dan tidak pernah meminggirkan mereka.
Pinol turut menegaskan bahawa usaha untuk membangunkan kampung tidak berlaku dengan segera dalam sekelip mata sahaja tetapi hasilnya kini dapat dilihat oleh penduduk, terutama sekali projek menaik taraf jalan dari batu ke aspal di beberapa lokasi seperti Jalan Lahanas, Jalan Sayap, dan Jalan Kampung Podos yang sedang dalam proses pengaspalan di Kadamaian.
Beliau turut menyatakan bahawa semua komuniti Kampung Lahanas berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh pihak kontraktor.
Sejarah pemilihan Kampung Lahanas sebagai Kampung Sejahtera bermula pada tahun 2018.
Kampung Lahanas terpilih sebagai Kampung Sejahtera di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Pemilihan ini dibuat oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah yang pada ketika itu menterinya adalah Datuk Ewon Benedick.
Selain Kampung Lahanas, dua kampung lain di daerah Kota Belud juga terpilih sebagai Kampung Sejahtera, iaitu Kampung Song-Song dalam kawasan DUN Usukan dan Kampung Mandawang di bawah DUN Tempasuk.
Comments