- nabalunews
Kerjasama antara agensi mantapkan usaha banteras pemerdagangan manusia
25 Ogos 2024
KUCHING : Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berterusan serta meningkatnya kesedaran pemain industri mengenai amalan baik dalam tatacara pengambilan pekerja menyumbang kedudukan Malaysia ke tahap lebih baik dalam menjayakan agenda bebas buruh paksa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kedudukan terkini dalam Tahap 2 atau Tier 2 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menunjukkan komitmen Malaysia dalam usaha menangani isu pemerdagangan manusia dan buruh paksa kini diakui dunia.
Justeru katanya, dua kementerian utama yang mengendalikan isu terbabit iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) perlu meneruskan usaha mencari kaedah baharu untuk membanteras buruh paksa.
"Tahun ini, Malaysia diletakkan dalam Tahap 2 atau Tier 2 selepas berada di Tahap 2 Pemerhatian atau "Tier 2 Watch List" pada tahun 2023.
"Sehubungan itu, KDN dan KESUMA perlu melaksanakan tindakan berterusan untuk menangani isu buruh paksa seterusnya meningkatkan keyakinan dunia terhadap Malaysia dalam membanteras isu itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Membanteras Ekploitasi Pekerja anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Fadillah berkata, bermula Januari hingga Julai tahun ini, dua kes pemerdagangan manusia dilaporkan di negara ini dengan kedua-duanya berlaku di Semenanjung.
Pada 2023, sebanyak 12 kes dilaporkan berlaku dengan 11 kes berlaku di Semenanjung dan satu lagi di Sarawak manakala sepanjang tahun 2022 pula sebanyak 16 dilaporkan iaitu 15 kes di Semenanjung, dan satu lagi di Sabah.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ketika mengulas kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur Khamis lalu berkata, beliau berharap ada teknologi terkini yang dapat memberi amaran awal bagi mengelak tragedi.
Menurutnya, Kuala Lumpur terdedah kepada kejadian tanah jerlus kerana bahagian dasar bandar raya itu diliputi batu kapur.
Beliau berkata, hakisan air membentuk rongga bawah tanah sehingga menyebabkan kawasan permukaan lemah dan mudah runtuh.
"Oleh itu, kita harus ada sistem amaran awal seperti yang digunakan dalam mengesan gempa bumi.
"Langkah itu perlu dilaksanakan semua agensi khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran," katanya.
Komentarze