Kerjasama PH BN GRS Umpama Cinta Tiga Segi
- nabalunews
- Aug 3, 2025
- 1 min read

3 Ogos 2025
KOTA KINABALU: “Cinta itu menyenangkan dan kadang-kadang ada sedikit duka, tapi itulah maknanya cinta”.
Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambarkan kerjasama antara PH dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Anwar berkata, PH kini sedang berbincang dengan BN dan GRS untuk mencapai kata sepakat bagi mengelakkan pertembungan antara tiga gabungan itu.

Katanya, persefahaman ketika ini cuba dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga gabungan dapat direalisasikan.
“Persefahaman kita sekarang ialah kita cuba buat ketetapan agar tiada pertembungan di antara tiga gabungan ini.
“Kita cuba mengelak untuk memasuki pertempuran antara sesama sendiri disebabkan begitu banyak perbezaan,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui media selepas menyampaikan Amanat Khas Presiden, Gerak Gempur Menang PRN Sabah anjuran PKR, di sini, hari ini.
Anwar bagaimanapun mengakui kemungkinan wujud kekeliruan dalam kalangan rakyat di kawasan tertentu yang berdepan konflik berhubung isu kerjasama di antara PH, BN dan GRS.
“Tapi, saya tidak mahu buat andaian awal kerana niat kita ialah mahu pastikan ada persefahaman penuh di antara ketiga-tiga pihak,” katanya
Sementara itu, Anwar berkata, tumpuan utama adalah memastikan gabungan itu dapat memainkan peranan yang membina di Sabah.
“Apa yang penting bagi PH ialah untuk mendapatkan peranan yang membina dan memastikan kehadirannya dapat meneruskan agenda reformasi.
“Kita juga perlukan kerjasama semua parti bagi memastikan kestabilan, keamanan dan kerajaan negeri yang kuat yang penting untuk bekerjasama baik dengan Persekutuan untuk manfaat Sabah dan Malaysia,” katanya.















Comments