- Wartawan Nabalu News
Kerosakan enjin paksa pesawat Cebu Pacific Air buat pendaratan cemas di KKIA
23 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menjadi tempat pendaratan kecemasan bagi sebuah pesawat airbus A320 milik Cebu Pacific Air yang menghadapi kerosakan enjin, semalam.
Pesawat yang membawa 92 orang penumpang dan krew itu bertolak dari Cebu, Filipina pada jam 7.55 malam dan didapati mengalami masalah pada enjin sebelah kiri semasa dalam perjalanan.
Juruterbang pesawat berjaya mendaratkan pesawat di KKIA pada jam 10.22 malam tanpa sebarang kecederaan.
Pesawat tersebut sepatutnya sampai di Singapura pada Rabu.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dihubungi memberitahu, pihaknya mendapat panggilan daripada Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) KKIA pada jam 9.49 malam.
Katanya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Keadaan terkawal dan pesawat mendarat dengan selamat dan semua penumpang dan krew tidak mengalami apa-apa kecederaan. Siap siaga di lapangan terbang ditamatkan pada jam 10.29 malam,” katanya.
Comments