Jacquline Ebit
Kes baharu Covid-19 di Sabah kekal empat digit

1 Ogos 2021
Oleh Jacquline Ebit
KOTA KINABAU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini menurun sedikit kepada 1,002 kes hari ini iaitu penurunan sebanyak 33 kes berbanding kelmarin menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 85,723 kes.
Tujuh kes kematian turut dilaporkan hari ini iaitu dua kes di Penampang, manakala Beluran, Papar, Semporna, Kinabatangan dan Kota Kinabalu masing-masing mencatatkan satu kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, semua daerah di Sabah pada hari ini mencatatkan kes baharu dan sebanyak 24 daerah berada dalam Zon Merah Covid.
"Kota Kinabalu dan Tawau mencatat kes baharu tertinggi pada hari ini masing-masing dengan 171 kes, diikuti Penampang (100 kes), Sipitang (90 kes), Sandakan (75 kes), dan Tuaran (73 kes), Keningau (47) kes, dan Telupid (40) kes” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, saringan kontak rapat terus menyumbang peratusan tertinggi kes baharu iaitu 59 peratus bersamaan 591 kes daripada jumlah kes keseluruhan pada hari ini.
"Sebanyak 107 kes baharu di Kota Kinabalu datang daripada kontak rapat, begitu juga dengan di Tawau (120 kes), Penampang (67 kes) dan Sipitang (56 kes).
“Saringan bergejala menyumbang kes kedua tertinggi hari ini iaitu 187 kes dan saringan kluster mencatatkan 133 kes, manakala sarıngan bersasar merekodkan 55 dan saringan lain-lain kes pula mencatatkan 39 kes,” katanya.
Dalam pada itu, 72.45 peratus daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 285 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 441 kes sekadar mengalami simptom ringan.
“Kedua-dua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya.
Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 578 menjadikan jumlah kumulatif 77,513 orang.
“Seramai 4,263 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 862 orang di hospital, 3,361 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 39 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 100 orang dan 28 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.