Kes baharu Covid di Sabah kekal tinggi dengan 2,136 kes, 33 kematian

5 September 2021
Oleh Jacquline Ebit
KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah kekal tinggi iaitu sebanyak 2,136 kes direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 159,421 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes kematian yang direkodkan juga masih tinggi iaitu 33 kes kematian telah dilaporkan hari ini.
"Daripada jumlah kematian yang dilaporkan, 12 kes di Tawau, tujuh kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Kalabakan dan Tuaran, dua kes di Lahad Datu dan Penampang manakala Kudat, Papar, Putatan dan Semporna masing-masing mencatatkan satu kes," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kota Kinabalu terus kekal sebagai daerah dengan kes tertinggi Covid iaitu sebanyak 357 kes, diikuti Sandakan dengan 332 kes, Papar pula melonjak naik kepada 211 kes, Tawau (157 kes), Lahad Datu (116 kes), Kota Marudu (108 kes) dan Tuaran (102 kes).
"Berdasarkan jumlah keseluruhan kes hari ini, 962 kes adalah kes positif yang lewat didaftar antara 2 hingga 3 hari, 102 kes adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara 4 hingga 5 hari dan 144 kes adalah yang didaftar lewat melebihi 5 hari selepas tarikh keluar keputusan.
"Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian dengan 1,280 kes atau bersamaan 60 peratus manakala, 569 kes adalah daripada saringan bergejala, 68 kes daripada saringan kluster, enam kes daripada saringan bersasar dan 213 kes dari saringan lain-lain kes,"katanya.
Menurut Masidi, 37.7 peratus kes di Kota Kinabalu hari ini berpunca daripada saringan bergejala, begitu juga di Sandakan (27.7 peratus), Tawau (33.7 peratus) dan Penampang (32.6 peratus).
Tambah beliau, pesakit dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5 kekal dalam paras yang dianggap tinggi.
"Hari ini pesakit dalam Kategori 1 adalah sebanyak 688 kes, Kategori 2, (1,261 kes), Kategori 3 (15 kes), Kategori 4 (10 kes) dan Kategori 5 sebanyak 13 kes.
"Dari segi jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital atau sembuh pula sebanyak 2,941 orang telah discaj atau sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif 127,312 orang," katanya.
コメント