top of page
  • Writer's pictureJacquline Ebit

Kes baharu Covid di Sabah menurun kepada 1,654 kes, 15 kematian



13 Ogos 2021

Oleh Jacquline Ebit


KOTA KINABAU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini mencatatkan penurunan iaitu daripada 2,052 kes (12 Ogos) kelmarin kepada 1,654 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 101,685 kes.


Sebanyak 15 kes kematian turut dilaporkan hari ini, iaitu enam kes di Kota Kinabalu, masing-masing tiga kes di Tawau dan Sandakan, manakala Beaufort, Papar dan Keningau masing-masing mencatatkan satu kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, sebanyak lapan daerah mencatatkan kes baharu pada julat 3 digit, dengan Kota Kinabalu 351 kes, Tawau 210 kes, Penampang 204 kes, Sandakan 116 kes, Kota Belud 107 kes, Papar 101 kes, Tuaran 101 kes dan Keningau 100 kes.


"Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di negeri Sabah dengan 956 kes atau 57.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.


"Selebihnya, saringan bergejala merekodkan 528 kes, saringan kluster merekodkan 31 kes, saringan bersasar pula sebanyak 43 kes dan saringan lain-lain kes merekodkan sebanyak 96 kes daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.


Menurut Masidi trend semasa memperlihatkan kenaikan ketara Kategori Bergejala di beberapa daerah, satu isyarat bahawa penularan virus COVID-19 semakin meluas di kalangan komuniti.


"Sebanyak 995 kes dari kategori 2 dan 306 kes daripada Kategori 1 iaitu kes yang mempunyai gejala ringan dan tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan.


Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 792 orang menjadikan jumlah kumulatif 86,129 orang.


“Seramai 5,124 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,141 orang di hospital, 3,914 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 63 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala enam orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 157 orang dan 60 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

bottom of page