Jacquline Ebit
Kes baharu Covid di Sabah terus meningkat dengan 1,291 kes
6 Ogos 2021
Oleh Jacquline Ebit
KOTA KINABAU: Sabah mencatatkan kes baharu tertinggi setakat ini iaitu 1,291 kes, peningkatan sebanyak 229 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 91,201 kes.
Sebanyak lima kes kematian turut dilaporkan hari ini iaitu tiga kes di Kota Kinabalu, dan masing-masing satu kes di Tuaran dan Sandakan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, semua daerah di Sabah pada hari ini mencatatkan kes baharu dan Zon Merah Covid kekal kepada 25 daerah.
"Empat daerah di Sabah mencatatkan kes tiga digit, iaitu Kota Kinabalu (282 kes), Tawau (177 kes), Penampang (131 kes) dan Papar (112 kes),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Manakala lima daerah pula merekod jumlah kes harian melebihi 50 kes, iaitu Tuaran (96 kes), Sandakan (72 kes), Sipitang (54 kes), Beaufort (54 kes) dan Keningau (52 kes).
Masidi berkata, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di negeri Sabah iaitu 772 kes bersamaa 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.
"Daerah Kota Kinabalu, Tawau, Papar dan Penampang mencatatkan kes saringan kontak rapat yang tertinggi pada hari ini dengan 139 kes di Kota Kinabalu, 130 kes di Tawau, 96 kes di Papar dan 97 kes di Penampang.
"Peratusan kes bergejala tanpa diketahui dari mana punca atau apa yang dipanggil kes-kes sporadik juga kekal tinggi dengan 299 kes direkodkan pada hari ini.
"Di Kota Kinabalu, (107) kes daripada (282) kes yang dicatat hari ini adalah melalui saringan bergejala manakala di Tuaran 35 kes aripada jumlah kes juga adalah daripada kategori bergejala.
Selebihnya, saringan kluster merekodkan 70 kes, saringan bersasar sebanyak 73 kes dan saringan lain-lain kes merekodkan 77 kes daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.
Dalam pada itu, 91.41 peratus daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 364 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 816 kes sekadar mengalami simptom ringan.
“Kedua-dua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya.
Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 770 menjadikan jumlah kumulatif 80,597 orang.
“Seramai 4,402 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,048 orang di hospital, 3,326 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 20 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala lapan orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 133 orang dan 54 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Comentarios