top of page
  • Writer's pictureJacquline Ebit

Kes baharu Covid kekal tinggi dengan 2,583 kes, 11 kematian



19 Ogos 2021

Oleh Jacquline Ebit


KOTA KINABAU: Jumlah kes baharu Covid-19 hari ini meningkat kepada 2,583 iaitu peningkatan sebanyak 170 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 113,929 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes harian akan kekal tinggi untuk beberapa hari sehingga JKNS kosongkan (clear away) semua keputusan kes-kes yg tertunggak (backlog), iaitu kes-kes yang didaftar lewat melebihi lima hari setelah keputusan saringan diketahui.


"Hari ini 289 kes atau 11.2 peratus daripada 2,583 kes baharu adalah kes-kes yang didaftar lewat (backlog), antaranya 188 kes di daerah Kota Kinabalu, 58 kes bagi daerah Penampang dan 40 kes di Putatan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sebanyak 11 kes kematian turut dilaporkan hari ini, iaitu empat kes di Tawau, tiga kes di Kota Kinabalu, dua kes di Keningau dan masing-masing satu kes di Ranau dan Tuaran.


Masidi berkata, daripada jumlah keseluruhan kes, daerah Kota Kinabalu terus mencatatkan kes baharu harian tertinggi dengan 475 kes, diikuti Penampang dengan 302 kes, Tawau (240 kes), Sandakan (170 kes), Tuaran (163 kes), Sipitang (136 kes), Keningau (125 kes), Lahad Datu (121 kes), Papar (118 kes), dan Putatan (114 kes).


"Saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kepada kes-kes baharu di negeri Sabah iaitu daripada 2,413 kes hari ini, 1,503 kes adalah daripada saringan kontak rapat.


"Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi daripada saringan kontak rapat dengan 255 kes, diikuti Penampang (177 kes), Tawau (140 kes), dan Tuaran (124 kes).


"Selebihnya saringan bergejala merekodkan sebanyak 686 kes, saringan kluster merekodkan 123 kes, saringan bersasar pula sebanyak 122 kes dan saringan lain-lain kes merekodkan sebanyak 149 kes daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini," katanya.


Masidi berkata, pesakit dalam Kategori 2 merupakan kumpulan terbanyak dengan 1,449 kes, Kategori 1 (1,045 kes), Kategori 3 sebanyak (22 kes), Kategori 4 (tiga kes) dan Kategori 5 sebanyak lima kes," katanya.


Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 2,057 orang menjadikan jumlah kumulatif 93,223 orang.


“Seramai 5,067 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,251 orang di hospital, 3,793 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 14 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala sembilan orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 158 orang dan 68 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

bottom of page