- Wartawan Nabalu News
KES BAHARU POSITIF COVID DI SABAH HARI INI MENINGKAT
1 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu positif Covid-19 di Sabah mencatatkan peningkatan yang agak ketara dengan kenaikan 111 kes iaitu daripada 207 kes kelmarin (31 Mei) kepada 318 kes (1 Jun).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, satu kes kematian turut direkodkan hari ini di Tuaran.
Beliau berkata, daripada 318 kes jangkitan baharu hari ini, 217 kes hasil saringan kontak rapat, 44 kes saringan kluster, 29 kes saringan bergejala, 16 kes saringan bersasar dan 12 kes adalah daripada lain-lain kes.
“Terdapat 13 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lapan daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala lima lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Tawau 90 kes (+62), Lahad Datu 43 kes (+31), Kota Belud 22 kes (+12), Kalabakan 12 kes (+11) dan Papar 13 kes (+10).
“Bagaimanapun lapan daerah di negeri ini mencatatkan penurunan kes. Tujuh daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka manakala satu daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Sandakan (-31),” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, hari ini, tujuh daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Telupid, Tongod, Pitas, Kota Marudu, Keningau dan Tambunan.
Katanya, perubahan kes bagi setiap daerah adalah tidak statik kecuali daerah-daerah yang masih mengekalkan status Zon Hijau dan berlakunya peningkatan kes menunjukkan kebarangkalian bahawa masih terdapat ketidakpatuhan SOP di kalangan masyarakat.
“Keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan pendemik COVID-19 ini sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
留言