KES COVID-19 DI SABAH MENURUN, 13 DAERAH TIADA KES BAHARU

12 Feb 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 118 kes positif baharu Covid-19 menurun 24 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 51,115 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, dua kes kematian direkodkan hari ini iaitu masing-masing satu kes di Kota Kinabalu dan Lahad Datu.
Beliau berkata, daripada 118 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 75 kes (63.6%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 17 kes (14.4%), saringan kluster sedia ada 13 kes (11%) dan 13 kes (11%) adalah dari lain-lain kategori.
“Sebanyak 13 daerah tidak mencatatkan kes baharu iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Kunak, Telupid, Tongod, Ranau, Sipitang, Beaufort, Pitas, Tenom, Beluran, Tambunan dan Kuala Penyu.
“Daerah Tawau pula mencatatkan 27 kes, diikuti Putatan (16 kes), Kota Kinabalu dan Sandakan masing-masing 11 kes, Nabawan (10 kes), Keningau dan Lahad Datu masing-masing sembilan kes, Kalabakan (enam kes), Papar dan Kinabatangan masing-masing lima kes.
“Penampang dan Tuaran masing-masing tiga kes, Kudat (dua kes) dan Semporna mencatatkan satu kes baharu,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, pada hari ini seramai 266 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 48,974 orang.
“Pada hari ini, sejumlah 1,231 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 464 orang di hospital, 765 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan dua (2) orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
“Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 66 orang dan 20 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Commentaires