top of page

KES COVID-19 MENINGKAT : PDRM PERTINGKAT PEMERIKSAAN, PEMANTAUAN TEMPAT AWAM - KPN

nabalunews

28 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan jumlah pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam dipatuhi berikutan peningkatan kes wabak COVID-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM mendapati masih ada masyarakat yang leka dan kurang mengambil berat mengenai aspek pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak itu.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil ke atas individu-individu yang didapati mengingkari peraturan berkenaan.


“Mengambil kira statistik kes baharu positif COVID-19 yang tinggi, PDRM mengingatkan seluruh masyarakat agar sentiasa mengamalkan disiplin kendiri dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sempena cuti hujung tahun dan musim perayaan, ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman, berkunjung ke tempat-tempat peranginan serta mengadakan majlis keramaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti sedemikian akan mewujudkan situasi orang ramai akan berkumpul dalam bilangan yang ramai.

Beliau mengingatkan masyarakat agar mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam komuniti serta mengelakkan ‘3S’ (sesak, sempit dan sembang dekat) dalam aktiviti harian bagi membendung penularan wabak ini.

“Bersama-sama kita berganding bahu untuk memutuskan rantaian dan melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19, di Malaysia,” katanya. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page