top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kes kedua Omicron di Malaysia dikesan babitkan kanak-kanak - KJ




16 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kes kedua Covid-19 varian Omicron di negara ini membabitkan jangkitan import dari luar negara.


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kes baharu tersebut membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun, warganegara Malaysia yang menetap di Lagos, Nigeria bersama keluarganya.


“Keputusan ujian RT-PCR (Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) Covid-19 sebelum ke atas kes sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif.


“Kes tiba di Malaysia bersama ibun dan adik perempuannya pada 5 Disember lalu dan telah menjalankan ujjian RT-PCR setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


“Mereka diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, keputusan ujian RT-PCR didapati positif Covid-19 pada 7 Disember lalu namun tidak mempunyai gejala dan diarahkan menjalani isolasi di rumah selama 14 hari.


Kes kemudiannya disahkan positif varian Omicron pada 14 Disember lalu, selepas Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) melakukan jujukan penuh genom.


“Kontak rapat kes dikenal pasti terdiri daripada adik perempuan, bapa dan pemandu teksi yang membawa kes dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.


“Bagaimanapun, ujian yang dijalankan ke atas ibu bapa dan adik perempuan kes sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, hari kelima dan hari ke-11 adalah negatif.


“Ujian RT-PCR COVID-19 bagi pemandu teksi sedang dijalankan dengan keputusannya dijangka diperoleh hari ini...ketiga-tiga mereka tidak bergejala dan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari," katanya.


Jelas Khairy, bapa kes yang tiba di Malaysia pada 12 Disember lalu juga telah menjalani kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta dan ujian RT-PCR bapa kes pada hari ketibaan adalah negatif.


Sehubungan itu, keputusan ujian bagi 35 orang kontak dalam penerbangan sama dengan kes juga disahkan negatif.


Tambah beliau, kementeriannya juga memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 18 kes kemungkinan varian Omicron dikesan di negara ini membabitkan pengembara yang pulang dari luar negara.


“18 kes kemungkinan varian Omicron itu dikesan hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan oleh IMR membabitkan 52 sampel melibatkan pengembara yang pulang dari negara bagi tempoh 6 hingga 10 Disember lalu.


“KKM kini sedang menunggu keputusan pengesahan melalui jujukan genom penuh ke atas 18 kes kemungkinan varian Omicron tersebut dan keputusan dijangka akan diperoleh esok,” jelasnya.


Menurut Khairy, KKM akan terus menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 termasuk varian Omicron di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) dan dalam komuniti.

bottom of page