top of page

Kes Zara Qairina- Dakwaan Mesin Basuh Hanya Spekulasi

  • nabalunews
  • Aug 6, 2025
  • 1 min read

6 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Dakwaan mangsa Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh hanyalah satu spekulasi di media sosial.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, berkata, anak guam mereka, iaitu ibu Zara, tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada sesiapa.


“Kami memohon wanita yang menularkan kenyataan berkenaan supaya menyalurkan maklumat itu kepada polis bagi tujuan siasatan.


“Begitu juga dengan penyebaran kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth pada jam 8 pagi, 16 Ogos lalu juga adalah satu spekulasi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Menurutnya, maklumat yang membentuk semua kronologi berkenaan bukannya datang dari anak guamnya .


Sementara itu, peguam berkenaan menegaskan, penyebaran gambar para pelajar sekolah di platform-platform media massa dan membuat kenyataan yang negatif terhadap mereka adalah satu kesalahan jenayah mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan seksyen 211 serta seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Selain itu katanya, penyebaran senarai nama pelajar-pelajar sekolah yang mengandungi maklumat peribadi mereka juga adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 dan seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


“Oleh itu, kami berharap penularan perkara-perkara di atas di semua platform media sosial

dihentikan segera.


“Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran di atas, kami memohon agar memadam video dan gambar tersebut.


“Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes Zara diminta untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada polis untuk tujuan siasatan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page