Kesedaran mengenai Tibi dan Kusta
- nabalunews
- May 7
- 2 min read

7 Mei 2025
SANDAKAN: Kempen pendidikan awam serta penglibatan komuniti penting dalam mengatasi stigma terhadap pesakit Tuberkulosis (Tibi) dan Kusta.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata, pelbagai advokasi yang mudah difahami, konsisten serta bersifat inklusif merangkumi daerah pedalaman dan juga kawasan endemik dilihat mampu memberi makluman kepada masyarakat umum mengenai penyakit itu.
Selain itu katanya, sokongan psikososial dan perkongsian kisah kejayaan pesakit juga boleh membantu memupuk penerimaan dan mengurangkan salah tanggapan tentang penyakit ini.
"Syabas atas usaha Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang sentiasa melaksanakan program kesedaran berkaitan penyakit Tibi dan Kusta kepada masyarakat secara berterusan.
“Usaha itu sekaligus mampu memberi maklumat kepada masayarakat berkaitan aedah pencegahan penyakit termasuk pengesanan awal, rawatan segera serta saringan ke atas individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan PPR Taman Harmoni, di sini, pada Rabu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Penyelaras Parlimen Sandakan, Tang Tzu Ching.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr.Maria Suleiman dan Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr.Mohd Faiz Gahamat.
Pada sidang media, Tzu Ching tueut menyambut baik penganjuran program itu yang memberi kesedaran kepada umum mengenai Tibi dan Kusta.
Katanya, pengesanan awal amat penting kerana penyakit itu boleh sembuh sekiranya mendapat rawatan dari awal.
Sementara itu, Pengarah JKNS, Dr Maria berkata, Sabah mencatatkan penurunan kes Tibi di mana bagi minggu epid ke-18 ketika ini, sebanyak 1,993 kes dicatatkan berbanding sepanjang tahun lalu dengan kes sebanyak 6,099.
Manakala katanya, bagi penyakit kusta pula, ia mencatatkan 35 kes bagi minggu itu berbanding 57 kes pada tahun 2024 dengan kadar 61 peratus bagi tahun lepas.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga akan terus melaksanakan kempen kesedaran dan program berkaitan.
“Ia bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat berkenaan penyakit Tibi dan Kusta selain menyokong usaha ke arah sifar Tibi dan Kusta,” tegasnya.
Commenti