Kesedaran Penggunaan Tenaga dan Gas Diperkasa Melalui Program ECoS di Kota Belud
28 November 2024
KOTA BELUD: Program Kesedaran Pengguna Tenaga Elektrik dan Gas yang dianjurkan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) telah diadakan hari ini di Dewan Arena Belia, Kementerian Belia dan Sukan, Kota Belud dengan matlamat untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan penggunaan tenaga secara selamat dan efisien.
Program ini dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jitun.
Peserta program terdiri daripada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kadamaian, Pintasan, Tempasuk, dan Usukan.
Program ini ditekankan sebagai inisiatif penting dalam memperkasakan komuniti tempatan mengenai kepatuhan kepada piawaian keselamatan tenaga.
Program ini menampilkan empat sesi pembentangan utama, setiap satunya dirancang untuk memberikan panduan praktikal kepada peserta iaitu
Pengenalan kepada 'Guaranteed Service Level' (GSL) oleh Sabah Electricity yang memberi tumpuan kepada hak pengguna terhadap tahap perkhidmatan yang dijamin oleh pembekal tenaga elektrik.
Penggunaan Elektrik Secara Cekap Tenaga yang dibentangkan oleh pihak ECoS memberikan panduan komprehensif mengenai langkah-langkah penjimatan tenaga, selaras dengan usaha mengurangkan pembaziran tenaga di peringkat komuniti.
Sabah Electricity turut mengetengahkan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil untuk memastikan keselamatan penggunaan elektrik, termasuk tip mengelak risiko kemalangan seperti renjatan atau kebakaran.
Dalam sesi ini, wakil PETRONAS berkongsi panduan pengendalian gas yang selamat untuk kegunaan di rumah yang menekankan langkah-langkah asas seperti pemeriksaan berkala dan tindakan kecemasan.
Sesi interaktif soal jawab diadakan untuk memastikan peserta dapat berkomunikasi secara langsung dengan penceramah profesional dan mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu berkaitan.
Dalam ucapan perasmiannya, Peter berkata program ini mendatangkan banyak manfaat kepada masyarakat.
“Pengurusan tenaga yang baik bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan, tetapi juga membawa penjimatan kepada pengguna.Saya berharap ilmu yang diperoleh hari ini akan digunakan oleh para peserta untuk memimpin komuniti masing-masing ke arah amalan yang lebih selamat dan berhemah,” katanya.
Menurut Peter lagi, program ini mencerminkan komitmen ECoS dan pihak berkaitan untuk memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan asas yang penting mengenai penggunaan tenaga.
"Dengan usaha berterusan seperti ini, diharapkan risiko kemalangan dapat dikurangkan, sekaligus memastikan kesejahteraan komuniti," katanya.
Comentarios