Kesejahteraan Kesihatan Asas Kemakmuran Kadamaian
- nabalunews
- Oct 11, 2024
- 2 min read

11 Oktober 2024
KOTA BELUD: Kesedaran awal mengenai bahaya penyakit seperti kanser adalah langkah penting untuk mengurangkan risiko dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Program Kesedaran Kanser yang akan berlangsung di Kadamaian diharap dapat memberikan impak positif terhadap masyarakat Kadamaian, bukan sahaja dalam aspek kesihatan, tetapi juga dalam memupuk kesedaran dan tanggungjawab bersama untuk menjaga kesejahteraan komuniti.
Sokongan yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta pihak berkaitan menunjukkan komitmen berterusan pemimpin dan pelbagai pihak
dalam memastikan setiap individu di Kadamaian mendapat akses kepada maklumat dan rawatan kesihatan yang diperlukan.
Program ini dianggap penting dalam meningkatkan tahap kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Bagi menyokong penganjuran program ini, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis yang mewakili Ewon menyerahkan sumbangan kepada Daipah Mosikin, Pengerusi Persatuan Pencegah Kanser Sabah (PPKS) bertempat di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Skyblue Kampung Piasau, Kota Belud, semalam pada 10 Oktober.
Sumbangan ini akan digunakan untuk menyokong pelaksanaan beberapa program kesedaran kanser yang dijadualkan di tiga kampung di kawasan Kadamaian.
Menurut Daipah, sumbangan yang diterima amatlah berharga kerana ia dapat membantu menampung kos-kos berkaitan, termasuk logistik, peralatan, dan pelaksanaan program yang melibatkan komuniti setempat.
PPKS merancang untuk mengadakan tiga program utama, bermula pada 12 Oktober ini di Dewan Komuniti Kampung Mandap, diikuti dengan sesi kedua pada 13 Oktober di Dewan Komuniti Kampung Kinasaraban, dan program terakhir akan berlangsung pada 26 Oktober di Dewan Komuniti Kampung Kelawat, Kota Belud.
Dalam ucapan beliau, Saikom menyampaikan amanat daripada Ewon, yang menekankan bahawa program-program seperti ini adalah keutamaan bagi pihaknya kerana ia memberi impak yang mendalam terhadap kesedaran masyarakat tentang penjagaan kesihatan.
Kesedaran awal mengenai bahaya penyakit seperti kanser adalah langkah penting untuk mengurangkan risiko dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Kadamaian.
“Tiada kemakmuran yang bermakna tanpa kesejahteraan kesihatan,” ujar beliau, menegaskan kepentingan penjagaan kesihatan sebagai asas kepada kemakmuran masyarakat.
Ewon juga komited untuk terus menyokong inisiatif kesihatan seperti ini agar setiap individu di Kadamaian dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.
Comments