top of page
  • Wartawan Nabalu News

Keselamatan siber perlu diberi perhatian sewajarnya, jangan diabai - PM Anwar



11 Julai 2023

Ole Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil berat tentang keselamatan siber di tengah-tengah transformasi digital yang sedang berlaku.


Beliau berkata keselamatan siber sering diabaikan dan tidak diberikan perhatian yang memadai, padahal ia adalah penting untuk mencapai masa depan digital yang selamat.


"Kita juga perlu sedar bahawa langkah perlindungan perlu diseimbangkan dengan kemudahan penggunaan. Langkah pemantauan dan pengesanan adalah penting, privasi perlu dipelihara," katanya dalam ucapannya pada pembukaan Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2023 pada Isnin.


Ucapannya dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang merasmikan acara itu bagi pihak perdana menteri.


Beliau juga menekankan bahawa kerajaan tidak boleh bersendirian dalam menggubal dan melaksanakan dasar keselamatan siber negara, tetapi memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk industri, ahli akademik dan masyarakat sivil.


Jelas beliau, kerjasama ini bukan sahaja akan membolehkan perkongsian maklumat dan pengetahuan, tetapi juga akan membina elemen kepercayaan yang diperlukan dalam persekitaran siber.


"Kepercayaan adalah penting dalam persekitaran digital. Membina dan mengekalkan kepercayaan ialah usaha berterusan dan bergerak dua hala. Kita perlu percaya bahawa penyedia teknologi membangunkan dan memperkenalkan teknologi tanpa sebarang agenda tersembunyi," katanya.


Beliau berkata CYDES 2023 dengan tema "Membina Ketahanan Siber: Melindungi Masa Depan Digital" adalah selari dengan prinsip dan matlamat MADANI untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara makmur dan maju, dengan menerima perubahan, menggabungkan perspektif yang pelbagai dan melaksanakan reformasi substantif.


Comments


bottom of page