- Wartawan Nabalu News
Ketidakpatuhan SOP antara punca kes baharu Covid di Sabah naik mendadak

24 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu Covid-19 bagi negeri Sabah hari ini melonjak secara mendadak ke angka 712, meningkat sebanyak 196 kes berbanding kelmarin dan lapan kes kematian dilaporkan.
Lapan kes kematian hari ini masing-masing tiga kes di Sandakan dan satu kes di Kota Kinabalu, Penampang, Kudat, Tawau dan Beluran.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata peningkatan kes itu menggambarkan masih ramai yang tidak mematuhi SOP.
Beliau berkata, peningkatan kes menggambarkan masih ramai yang tidak mematuhi SOP sepenuhnya.
“Kini kita berada dalam fasa pemulihan, ada kemungkinan masyarakat leka daripada mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (untuk sentiasa berada di rumah dan kurangkan pergerakan) kerana mempunyai persepsi bahawa kita dalam status pemuilhan.
“Jumlah yang tinggi di kalangan kategori kontak rapat juga satu petunjuk bahawa lebih ramai telah menjadi pembawa virus dan kemungkinan telah menjangkiti sahabat-sahabat mereka. Ini akan mengakibatkan jumlah jangkitan berganda,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, seluruh daerah di negeri ini mencatatkan perubahan angka yang tidak statik.
“Dengan jumlah catatan sebanyak 383 kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat perlu mematuhi semua SOP dan mengurangkan perjalanan keluar daripada rumah kecuali perlu.
“Sejumlah 79.3 peratus daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 206 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 359 kes sekadar mengalami simptom ringan.
“Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya.
Dari segi jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh, pada hari ini sebanyak 366 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 73,060 orang.
“Seramai 3,541 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 593 orang di hospital, 2,256 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 692 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 68 orang dan 18 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.