top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ketidakpatuhan SOP antara punca peningkatan kes baharu Covid



30 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sehari selepas jumlah kes harian jatuh sebanyak 91 kes, hari ini jumlah melonjak tinggi kepada 373 kes, peningkatan sebanyak 106 kes berbanding kelmarin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu, 365 atau hampir 98 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2, lima kes Kategori 3, dua kes Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.


“Seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 161 kes daripada Saringan Kontak Rapat.


“Ini dapat disimpulkan bahawa masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan dilakukan Kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, peningkatan bilangan kontak rapat dan individu bergejala yang positif juga adalah tanda jangkitan sudah mula menular dalam komuniti.


Mengenai bilangan pesakit Covid-19 sembuh, Masidi berkata seramai 214 individu sembuh menjadikan jumlah kumulatif 239,114 orang.


“Manakala 791 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 371 orang di hospital, 406 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 14 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara.


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 20 orang merangkumi 16 di ICU/repurposed kritikal care serta empat di open ward (HDW/kubikel akut) dan enam orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Comments


bottom of page