Ketua Setiausaha Negara seru JPJ tingkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan
2 September 2024
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, menekankan keperluan untuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan taraf perkhidmatan dan menangani isu kepuasan pelanggan.
Beliau menyatakan perkara ini dalam satu hantaran di laman Facebook selepas mengadakan lawatan mengejut ke ibu pejabat JPJ di Putrajaya pada Isnin.
Dalam lawatan tersebut, Shamsul Azri mendapati proses kerja di JPJ, khususnya masa menunggu, agak lama.
Beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ untuk mencari kaedah yang sesuai bagi memendekkan masa menunggu tersebut.
“Proses kerja (masa menunggu) agak lama. Justeru, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ untuk mencari kaedah yang bersesuaian bagi memendekkan masa menunggu,” katanya, lapor Bernama.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan untuk menambah baik ruang menunggu bagi memastikan persekitaran yang lebih kondusif dan mesra pelanggan.
“Ruang menunggu perlu ditambah baik bagi mendapatkan persekitaran yang kondusif dan mesra pelanggan (terdapat kerosakan kerusi dan juga tiada kipas). Saya telah mengarahkan Putrajaya Holdings untuk mengambil tindakan segera dalam minggu ini,” tambahnya.
Lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau operasi dan perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai, terutama selepas penambahan waktu pengoperasian kaunter selama satu jam yang berkuat kuasa pada 19 Ogos lepas di beberapa negeri terpilih.
Shamsul Azri berharap langkah ini dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan JPJ dan memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas dan anggota JPJ yang telah bertungkus-lumus memberikan khidmat yang baik kepada pelanggan.
Comments