Keuskupan Sandakan alu-alukan kehadiran paderi baharu, Arthur John, 31.
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Keuskupan Sandakan alu-alukan kehadiran paderi baharu, Arthur John, 31.


14 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News

TELUPID: Keuskupan Sandakan mengalu-alukan berita baik kehadiran seorang lagi paderi yang ditahbis ke martabat Imamat di Gereja Sto Martin, Telupid. Menurut Herald Malaysia Online, Arthur John, anak kelahiran Telupid yang berusia 31 tahun itu ditahbis oleh Uskup Julius Dusin Gitom pada 3 Mei lalu.

Ritus Pentahbisan dimulakan selepas pembacaan Injil oleh Diakon Gerald Terence Saimel OFM.


Fr Simon Kuntou mempersembahkan calon paderi kepada Uskup Julius dan untuk ditahbis.


Semasa menyampaikan amanatnya kepada calon paderi, Uskup Julius berpesan agar Arthur mempergunakan tenaganya untuk mengajar dan mengongsikan firman Tuhan dengan seluruh umat-Nya.


“Jadikan doktrin yang engkau ajarkan sebagai pemupuk bagi umat Tuhan. “Biarlah teladan hidupmu menarik para pengikut Kristus agar melalui perkataan dan tindakan anda dapat mendirikan umat Tuhan iaitu Gereja,” katanya. Calon paderi juga diseru untuk meninggalkan cara hidup lama untuk menerusi kehidupan baharu dalam Kristus.


“Ingatlah engkau dipilih menjadi umat Tuhan dan bertindak bagi mereka dalam hal yang berhubung dengan Tuhan.


“Janganlah mencari kepentingan sendiri sebaliknya bertindaklah demi kepentingan Kristus,” tambah Julius.


Selain itu, bakal paderi juga diminta untuk selalu meneladani


“Gembala Baik yang datang untuk melayani” serta sentiasa membantu mereka yang memerlukan bantuan rohani.

Uskup Julius juga menekankan kepada umat Kristian agar tidak terlalu memanjakan paderi kerana sikap itu boleh menyebabkan mereka angkuh dan leka dalam misi utama mereka dalam pelayanan.

Para umat juga diseru agar mendoakan atau mempersembahkan anak-anak mereka agar berani menyahut panggilan Tuhan melayani di ladang-Nya.

bottom of page