- nabalunews
Kita mesti berlaku adil pada semua sekolah – Fadhlina
10 Ogos 2024
KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan memberikan peruntukan yang lebih banyak kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berbanding Sekolah Kebangsaan (SK).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap peruntukan akan disalurkan kepada semua sekolah yang berada di bawah kementerian itu dengan melihat keperluan seperti penyelenggaraan dan pembangunan di sekolah itu.
Beliau berkata, kementerian sentiasa berlaku adil dalam soal pendidikan demi memastikan murid dan pelajar mendapat pendidikan yang terbaik.
“Tak betul, setiap sekolah ada keperluan dan keutamaan masing-masing sebab itu sepanjang saya menjadi Menteri Pendidikan yang kita angkat adalah yang kita sebut sebagai ‘need base’ keperluan, (jadi) peruntukan itu penyelenggaraan, pembangunan adalah berdasarkan keperluan.
“Jadi kalau SJKC perlukan, kita akan lihat keperluan itu, kalau Sekolah Kebangsaan perlukan, SJKT(Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan lain-lain sekolah ia akan melihat kepada keperluan itu
“Jadi jangan risau, kita mesti berlaku adil pada semua sekolah kerana itu adalah asas dalam pendidikan khususnya untuk memastikan akses pendidikan untuk anak-anak sampai untuk pendidikan mereka,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kempori Pengakap Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Kuala Nerus di sini hari ini.
Fadhlina berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan SJKC mendapat peruntukan yang lebih tinggi daripada Kementerian Pendidikan berbanding SK.
Comments