Kita terima baik keputusan Olimpik 2024 - Anwar
- nabalunews
- Aug 13, 2024
- 2 min read

12 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyiapkan kerangka baharu untuk meningkatkan prestasi sukan dan olahraga dalam negara sebagai persiapan ke acara antarabangsa kelak.
Sambil menerima baik pencapaian atlet negara dalam Olimpik Paris 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu adalah bagi meningkatkan pencapaian selari dengan tumpuan negara di depan melalui sukan.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya meminta rakyat Malaysia dan peminat sukan khususnya supaya tidak mengeluh dengan pencapaian wakil negara kerana mereka sudah berusaha.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan dan anak-anak yang terbabit dalam sukan Olimpik, mereka berusaha sebaik mungkin.
"Kita menerima baik keputusan...berhubung harapan dan masa depan mereka, kita akan menyiapkan beberapa kerangka baharu untuk meningkatkan prestasi sukan dan olahraga dalam negara.
"Kita harus tumpu ke depan tapi sementara itu, janganlah mengeluh kerana anak-anak olahragawan sudah berusaha sedaya upaya," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024, di ibu negara, hari ini.
Malaysia berjaya memperoleh dua pingat gangsa dalam acara badminton melalui sukan Olimpik Paris 2024.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, semua pihak harus menghargai pengorbanan yang sudah dilakukan atlet sejak lama bagi mengharumkan nama negara.
"Mereka sudah berusaha sedaya upaya mereka dengan pengorbanan yang lama, maka ada yang catat kejayaan, ada yang tidak," katanya.
Sebagai rekod, kontinjen negara membawa pulang dua pingat gangsa pada kempen kali ini menerusi acara beregu lelaki diwakili Aaron-Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Zii Jia.
Sebanyak tiga rekod kebangsaan berjaya dipecahkan di Paris menerusi Aniq dalam kategori 61 kilogram (kg) menerusi angkatan snatch 130kg untuk angkata keseluruhan 297kg, Datuk Azizulhasni Awang dalam acara pecut yang melakukan 9.402 saat pada pusingan kelayakan dan Izzah dalam acara pecut wanita (10.709s).
Lima catatan peribadi terbaik turut dicatat atlet negara menerusi Azizulhasni, Shah Firdaus dan Izzah (basikal trek), Aniq (angkat berat) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).


















Comments