top of page
Wartawan Nabalu News

KKM berhasrat bina pusat rawatan kanser di zon utara, timur, Sabah dan Sarawak


11 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat untuk membina pusat rawatan kanser di zon utara, timur, Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memastikan akses yang saksama kepada rawatan kanser berkualiti tinggi dan penjagaan untuk pesakit barah.


Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ini adalah kerana kebanyakan pusat rawatan kanser terletak di bandar-bandar utama terutamanya di Lembah Klang, yang menyebabkan pesakit kanser dari pekan kecil melakukan perjalanan jauh untuk menerima rawatan.


Beliau berkata kementerian juga sedar akan keperluan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan fasiliti penjagaan kesihatan khususnya dalam bidang onkologi, termasuk melabur dalam teknologi maju, melatih profesional penjagaan kesihatan dan memperluas pusat rawatan kanser untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.


"Ramai antara pesakit kanser perlu bertumpu (rawatan) khususnya di Kuala Lumpur, kita juga sedang melihat jangka masa panjang untuk melihat melalui pengezonan kalau ada rezeki, dan rancangan jika diperlukan pusat rawatan kanser di zon utara, timur, Sabah dan Sarawak, itu ialah pelan jangka panjangnya.


"Kalau kita lihat dari segi kos efektif ialah membina pusat rawatan kanser yang berhampiran dengan pesakit, itu yang saya lihat, kalau kita buat mengikut zon ia lebih sesuai untuk kita laksanakan," katanya selepas merasmikan "Against all odds - A Tribute" pada Sabtu.


"Saya perlu tekankan bahawa menangani cabaran kanser yang kompleks memerlukan usaha kolektif. Kita perlukan penyertaan aktif profesional penjagaan kesihatan, masyarakat awam, sektor swasta dan individu itu sendiri untuk mewujudkan respons yang komprehensif dan bersepadu," katanya.


Dr Zaliha juga mengucapkan tahniah kepada semua bekas pesakit kanser serta penghargaannya terhadap semua profesional penjagaan kesihatan atas usaha gigih dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi untuk kesejahteraan pesakit kanser.

Comments


bottom of page