top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKM bersedia hadapai ancaman wabak baharu termasuk penyakit X


26 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa pihaknya bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan berkaitan pandemik baharu termasuk ancaman penyakit X dalam negara pada masa depan.


Penyakit X adalah nama sandaran yang diterima pakai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk merujuk kepada penyakit baharu yang belum diketahui dan berpotensi mencetuskan wabak.


Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, WHO akan mengeluarkan amaran kepada negara-negara sekiranya terdapat ancaman daripada wabak berkenaan.


"Ia dinamakan X kerana masih belum diketahui penyakit yang sebenar, namun kita sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia hadapi kemungkinan pandemik ini," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin. Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Menurut laporan Sinar Harian, pakar kesihatan global percaya ancaman pandemik besar seterusnya semakin hampir dan boleh meragut sehingga jutaan nyawa berbanding Covid-19.


WHO menyarankan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas cepat setelah dunia berada pada situasi 'tidak bersedia' ketika menghadapi Covid-19 pada awal 2020.



Comments


bottom of page