KKM KENAL PASTI LIMA LAGI KLUSTER BAHARU - KP KESIHATAN

17 NOV 2020
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima kluster baharu hari ini melibatkan Sabah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata dua daripada kluster baharu itu adalah di Sabah, dengan Kluster Avenue melibatkan Daerah Penampang dengan kes indeks merupakan seorang penyelia tapak pembinaan yang telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 8 Nov.
Katanya individu terbabit dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah dan setakat 12 tengah hari ini hasil saringan kontak rapat mengesan 109 lagi kes positif COVID-19 daripada 246 individu yang disaring.
Selain itu menurutnya di negeri sama, Kluster Kejora melibatkan Daerah Kota Kinabalu dengan kes indeks dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 9 Nov dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.
"Saringan kontak rapat telah mengesan lapan lagi kes positif COVID-19. Sehingga 17 Nov, 12 tengah hari, 71 individu telah disaring, dan sembilan kes dikesan positif, manakala 62 individu dikesan negatif," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - Bernama
Comments