top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKM lulus rayuan pegawai perubatan bertukar penempatan


5 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Sebanyak 1,843 pegawai perubatan yang membuat rayuan untuk bertukar penempatan selepas ditawarkan pelantikan tetap telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, rayuan-rayuan tersebut telah dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Rayuan yang melibatkan wakil daripada pelbagai bahagian di bawah KKM.


"Setelah diteliti justifikasi yang dikemukakan, mengambil kira kesinambungan perkhidmatan secara menyeluruh dan faktor kekosongan jawatan, rayuan yang mempunyai asas kukuh diluluskan dan keputusan rayuan telah dimaklumkan kepada pegawai," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Beliau berkata, pelantikan tetap berdasarkan 4,263 kekosongan jawatan di fasiliti kesihatan seluruh negara telah dilaksanakan secara besar-besaran sejak tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini.


Jelas beliau pelantikan tersebut ini melibatkan negeri-negeri yang mempunyai kekosongan tinggi seperti Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.


"KKM menghargai semua pegawai perubatan serta pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang melaporkan diri ke tempat bertugas baharu pada 31 Julai lalu kerana mendahulukan kepentingan perkhidmatan," katanya.


Beliau juga berkata, melalui penempatan baharu ini, pegawai akan memperoleh lebih pendedahan mengenai sistem kesihatan dan berupaya membangunkan kapasiti diri.


"KKM juga sentiasa mengambil kira maklum balas berkaitan urusan penempatan dan pertukaran dan perkara ini akan dikendalikan berdasarkan struktur jawatankuasa yang ditubuhkan," katanya.


bottom of page