top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKM perluaskan sistem janji temu melalui MySejahtera

28 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan Malayisa, Dr Zaliha Mustafa berkata, kementerian tersebut memperluaskan sistem janji melalui aplikasi MySejahtera di semua fasiliti kesihatan primer bermula Rabu.


Jelas beliau, langkah tersebut adalah bagi mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses klien di fasiliti kesihatan primer.


"Selain bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer dalam pengaturan jadual perkhidmatan, sistem janji temu itu juga bertujuan untuk mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata antara kelebihan sistem janji temu dalam talian ini termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa.


"Pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan.


"Selain itu, sistem janji temu ini juga mempunyai fungsi Automated Reminder (peringatan automatik) supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang ditempah," katanya


Walau bagaimanapun, bagi kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan primer tanpa perlu membuat janji temu.


"Dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan disediakan KKM ini, saya harap ia dapat mempromosi program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat dengan lebih berkesan serta menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien.


"KKM sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021-2025 KKM di bawah Teras Strategik 2 iaitu Pemantapan Teknologi Baharu,” katanya.


Terdapat lapan perkhidmatan dimasukkan ke dalam sistem janji temu iaitu rawatan pesakit luar; Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI); Saringan Kesihatan PeKa B40 dan pemeriksaan kesihatan prapekerjaan/prapengajian.


Turut dimasukkan ialah saringan praperkahwinan; Khidmat Berhenti Merokok (KBM); perkhidmatan perancang keluarga serta prosedur iaitu rawatan luka, penukaran tiub dan lain-lain.


"Perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 Klinik Kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat,” katanya.

Comments


bottom of page