top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKM terima pakai pendekatan pajakan, ubah pengurusan aset, ambulans


3 Nov 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengubah cara pengurusan aset perubatan dan ambulans mulai tahun depan dengan menerima pakai pendekatan pajakan dalam usaha meningkatkan perkongsian awam-swasta yang lebih erat.


Timbalan Ketua Setiausaha KKM (Kewangan) Datuk Seri Norazman Ayob berkata, kementerian tidak lagi akan membeli aset perubatan secara terus kecuali untuk barangan tertentu yang bernilai rendah atau marginal.


"Kami akan memajak peranti perubatan seperti mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), imbasan Tomografi Berkomputer (CT) dan ultrasound berdasarkan asas sewa pajak untuk digunakan," katanya pada Persidangan Penjagaan Kesihatan KPJ di sini hari ini.


Beliau berkata, kementerian juga akan memajakkan ambulans dan tidak akan mempunyai ambulans sendiri lagi. Beliau berkata, kementerian sedang mencari sumber luar perkhidmatan ambulans, termasuk penggunaan aplikasi digital dan pesakit tidak perlu lagi menghubungi nombor kecemasan.


"Ia seperti perkhidmatan Grab di mana kami boleh mengesan dan menjejak ambulans. Kami telah menetapkan petunjuk prestasi utama dari segi masa tindak balas ambulans," katanya.


Beliau berkata, kementerian juga akan menyumber luar beberapa perkhidmatan perubatannya, justeru sedang meneliti beberapa perkhidmatan perubatan tersebut seperti perkhidmatan kardiologi.


"Kami akan melihat kumpulan hospital swasta mana yang boleh memenuhi keperluan kami dari segi piawaian dan harga, dan kemudian kami akan mula menyumber luar pesakit kepada mereka.


“Selain menguruskan kesesakan di hospital, ini juga akan memberi peluang serta kemudahan kepada pesakit kita dan tidak lagi perlu datang jauh-jauh ke Kuala Lumpur contohnya IJN (Institut Jantung Negara). Kini mereka berpeluang atau mempunyai kemudahan untuk dirawat di hospital tempat mereka berada," katanya.



Comments


bottom of page