KLF terus perhebat usaha revitalisasi bahasa etnik SabahKLF terus perhebat usaha revitalisasi bahasa etnik Sabah
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

KLF terus perhebat usaha revitalisasi bahasa etnik Sabah


Rita Lasimbang

22 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) terus memperhebatkan usaha merevitalisasi bahasa etnik Sabah bagi memastikan bahasa sukuan di negeri ini tidak pupus ditelan zaman.


Ketua Pegawai Eksekutifnya Rita Lasimbang berkata, ini kerana dalam era modernisasi dan globalisasi masyarakat penutur bahasa ibunda bimbang penggunaan bahasa mereka semakin berkurangan.


Katanya ia seterusnya mengakibatkan kehakisan ilmu pengetahuan orang asal terutamanya apabila bahasa yang lebih dominan mengambil alih bahasa orang asal.


“Bagi masyarakat Kadazandusun, mereka ingin menangani kebimbangan ini dengan meminta bahasa ibunda mereka diajar di Sekolah,” katanya dalam webinar Bahasa Etnik Sabah sempena Hari Etnik Sabah dan Hari Jadi Rasmi Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke-68, Tahun 2021, hari ini.


Rita berkata, sejak KLF ditubuhkan, yayasan itu telah memainkan peranan penting menyokong dalam promosi dan pembangunan pendidikan bahasa ibunda.


“KLF mengendalikan pilot projek bagi penyediaan sukatan pelajaran Bahasa Kadazan serta mengendalikan bengkel pertama ‘Mengenali Bahasa Kadazan’.


“Aktiviti KLF dikategorikan kepada dua bidang yang saling melengkapi iaitu pemeliharaan bahasa ibunda dan pendidikan bahasa ibunda,” katanya dan menambah aktiviti utama KLF ialah memberikan latihan dalam aspek linguistik Bahasa Kadazandusun.


Pada tahun 1997, Bahasa Kadazandusun mula diajar di sekolah-sekolah di Sabah, bermula dengan peringkat percubaan di 15 sekolah terpilih yang mempunyai bilangan majoriti murid Kadazan/ Dusun serta guru-guru etnik Kadazan/ Dusun.


Beliau berkata, sebelum pengajaran percubaan Bahasa Kadazandusun di sekolah sehinggalah sekarang, KLF mengadakan latihan dalam aspek linguistik Bahasa Kadazandusun bagi guru-guru (pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah) serta pensyarah-pensyarah di universiti dan Institut Pendidikan Guru.


“Bahasa Kadazandusun juga ditawarkan sebagai program minor di Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Disember 2010. KLF telah membantu dalam pelancaran program ini yang dirasmikan oleh Tan Sri Bernard Dompok pada 30 Sept 2010.


“Seramai 20 pelajar mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam Pengajian Melayu merupakan kumpulan pertama pelajar UPSI bagi program minor ini,” katanya.


Rita berkata, KLF turut mengendalikan bengkel penghasilan bahan pengajaran dan pembelajaran termasuk Buku Kerja Murid-Murid, Buku Kertas soalan peperiksaan dan Pelan Mengajar Harian bagi sekolah rendah untuk guru-guru Bahasa Kadazandusun.


“Aktiviti lain ialah menganjurkan pertandingan menulis novel dalam Bahasa Kadazandusun. Tujuan pertandingan ialah untuk menambah bahan bacaan dalam bahasa Kadazandusun P&P Bahasa Kadazandusun (BKD) yang dilancarkan pada 2012.


“KLF juga mendokumentasi seni bercerita oleh orang tua-tua dari komuniti dan mengedarkannya (CD) kepada semua sekolah yang mengajar BKD bagi rujukan guru-guru dan murid-murid tentang seni mananong (bercerita),” katanya.


Beliau berkata, dari segi pemeliharaan dan pendokumentasian kesenian lisan, KLF mendokumentasikan pelbagai acara termasuk upacara ritual monogit, puisi dan adat perkahwinan Kadazan.


“Komuniti Kadazan/Dusun adalah antara komuniti etnolinguistik di Sabah yang mewariskan ilmu watan secara lisan.


“Oleh kerana perubahan hidup komuniti Kadazan/Dusun, maka kesusasteraan lisan tersebut semakin hilang, sebab itu pendokumentasian perlu dijalankan segera sebelum ditelan zaman,” katanya.


Rita berkata, kesedaran yang tinggi dalam diri penutur bahasa itu amat penting dalam revitalisasi etnik.


“Bila ada kesedaran langkah pertama untuk kita ambil ialah menganjurkan Bengkel Ortografi,” katanya.


Beliau berkata, penghasilan sistem ortografi atau penulisan bagi suatu kumpulan etnik merupakan langkah pertama dalam pembangunan bahasa etnik tersebut.


“Dengan adanya sistem ejaan standard mereka boleh menulis sejarah, budaya dan kesenian mereka,” katanya dan menambah bengkel itu dimulakan pada tahun 2007.


Rita berkata, setakat ini 19 etnik di Sabah mempunyai sistem ortografi iaitu Rungus, Tobilung, Kimaragang, Bajau, Bonggi, Iranun, Ida’an, Kadazan, Dusun (Bundu, Tindal, Takad, Labuk/ Liwogu, Tinombunan), Lotud, Murut Tahol, Murut Timugon, Murut Paluan, Murut Bookan, Tombonuo, Sungai Kalabuan, Tatana’ dan Lundayeh.

bottom of page