Kluster baharu dikesan di Keningau melibatkan kluster tempat kerja
23 Sept 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Batu 46 Tulid – Keningau merupakan kluster jenis tempat kerja di sebuah syarikat pemulihan hutan yang terletak di Mukim Tulid, Sook.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks merupakan pekerja lelaki, 33, yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan tempat kerja pada 19 September.
"Saringan kontak rapat yang dilakukan bermula 19 hingga 22 September menunjukkan pertambahan bilangan kes positif.
"Penularan kluster ini disyaki berpunca daripada jangkitan komuniti yang merebak kepada pekerja-pekerja di dalam kem syarikat pemulihan hutan tersebut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Masidi, setakat ini jumlah kumulatif kes positif ialah 48 kes termasuk 27 kes baharu yang melibatkan Mukim Tulid dan Sook di Keningau.
Comments